Monday 30 November 2015

Wan Sharizon Dedah PERUBAHAN SIKAP Yus Jambu PETANDA Beliau Pergi Selamanya

KUALA LUMPUR: Rakan serumah pelawak Allahyarham Yussry Edoo, Wan Sharizon Rahim tidak menyangka perubahan sikap arwah yang tidak banyak bercakap kebelakangan ini menjadi petanda beliau akan pergi selama-lamanya.

Wan Shahrizon yang sudah mengenali Yussry atau Yus selama hampir 20 tahun berkata, selepas arwah meninggal dunia akibat sesak nafas malam tadi, barulah beliau perasaan perubahan sikap teman baiknya itu.

"Sepanjang mengenali arwah, dia suka bergurau. Bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini saya dapati dia kurang bercakap. Selalunya dalam kereta dia suka berbual, tetapi kebelakangan ini lebih banyak mendiamkan diri.

"Sebenarnya, saya tidak perasaan perubahan sikap beliau sehinggalah malam tadi.

"Banyak lagi perubahan sikap arwah sebelum dia pergi, tetapi sukar untuk saya mengingati semuanya," kata Shahrizon yang berada di sisi ketika Yus menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Shahrizon berkata, ketika Yus tampil membuat persembahan pada pertandingan akhir Raja Band di Dataran Merdeka, malam tadi, beliau melihat Yus seperti termengah-mengah.

Sebaik persembahan berakhir, Yus meminta dihantar pulang dengan segera.

"Yus kelihatan sangat penat sehingga menolak permintaan beberapa peminat yang ingin bergambar dengannya di belakang pentas. Sebelum ini, dia bukan macam itu.

"Yus biasanya akan melayan setiap peminatnya. Sebaik masuk ke dalam kereta, beliau membuka kasut dan bajunya serta bersandar kepenatan," katanya yang menemani Yus menjayakan persembahan itu.

Shahrizon berkata, di dalam kereta beliau sempat berseloroh dengan Yus mengenai jenis pekerjaan disukainya.

"Saya cakap antara main bola sepak dan menyanyi, mana satu lebih penat. Lantas Yus jawab menyanyi," katanya.

Beliau berkata, sebaik melalui Jalan Ipoh, Yus seperti terkena serangan sawan dan terus tidak sedarkan diri.

"Kami sangka Yus hanya pengsan. Kami segera membawanya ke Hospital Selayang. Apabila tiba di bahagian Zon Merah, Unit Kecemasan, doktor yang memeriksanya mengatakan Yus sudah meninggal," katanya.

Shahrizon berkata, arwah sebelum ini pernah mengalami masalah jantung dan kencing manis.

Jenazah Yus dibawa ke kampung halamannya di Perlis untuk dikebumikan, hari ini.

Yus yang juga anak bongsu dari tiga beradik, tidak pernah berkahwin. Salah seorang abang Yus juga dikatakan sudah meninggal dunia.


Sumber - BH Online

0 comments:

Post a Comment