Wednesday 18 November 2015

Alhamdulillah... Siti Nurhaliza Hamil 8 Minggu, Bersalin Tahun Hadapan

Penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza akhirnya disahkan hamil sekitar dua bulan selepas sembilan tahun mendirikan rumah tangga.

Berita kehamilan itu dilaporkan akhbar Utusan Malaysia semalam yang memetik sumber keluarga terdekat penyanyi itu.

Seluruh keluarga terdekat sudah mengetahui akan berita kehamilan itu beberapa hari sebelum majlis akad nikah anak tiri Siti, Asyraf Khalid yang berlangsung pada 1 November lalu.

Bercakap tentang pilihan Siti Nurhaliza dan suaminya, Datuk Seri Khalid Jiwa untuk tidak terlalu terbuka akan soal kehamilan ini, sumber berkenaan memberitahu ia adalah satu tindakan yang dibuat atas soal berkaitan sensitiviti.

Hasil siasatan Utusan Malaysia juga, Siti Nurhaliza tidak terbang ke Palembang, Indonesia bagi meraikan majlis resepsi pernikahan Asyraf dan isterinya, Tya Ariffin yang berlangsung di sebelah pihak perempuan, malam ini.

Ia juga adalah atas nasihat doktor supaya penyanyi berkenaan tidak menaiki penerbangan dalam waktu awal kehamilannya.

Spekulasi kehamilan Siti Nur­haliza tercetus pada malam pertama konsert Satu Suara Volume 2 di Istana Budaya pada 7 November lalu apabila penyanyi Hetty Koes Endang secara tiba-tiba melarang Siti untuk menari di pentas sambil menunjukkan ke arah perut pe­nyanyi berkenaan.

Selain itu juga, gurau senda ke­dua-dua penyanyi berkenaan di pentas juga merancakkan lagi spekulasi mengenai kehamilan tersebut. Bagaimanapun baik Siti mahupun Khalid mengambil pendirian untuk tidak mengesahkan hal berkenaan atas alasan tersendiri.

0 comments:

Post a Comment